Tuesday 16 September 2014

Hadi yang DULU bukanlah yang SEKARANG

KHAS UNTUK TATAPAN ANAK UMMI:
NOR IBRAHIM AL HADI BIN NOR ISMAIL

TARIKH LAHIR: 17 FEBUARI 2013 (9.10 PAGI)
TARIKH EDD: 11 MEI 2013
TEMPAT LAHIR: HOSPITAL TAIPING 
USIA KANDUNGAN: 28 MINGGU
BERAT KETIKA LAHIR: 980 GRAM
SEBAB KELAHIRAN PRA MATANG: PPROM
TEMPOH BERADA DI NICU: 54 HARI
KOMPLIKASI: PENDARAHAN OTAK KIRI, CYST DALAM OTAK, ANEMIA, APNEA, JAUNDICE

-7 hari-
Usia Hadi ketika ini 7 hari. Ketika ummi dan abi datang melawat, sempat ummi curi mengambil gambar ini untuk kenangan Hadi bila sudah dewasa kelak. Ketika ini, Hadi masih menggunakan bantuan pernafasan sepenuhnya. Berat Hadi turun naik. Berat Hadi turun sehingga 900g pada hari ketiga


-7 Hari-
Hadi cuma sebesar hp Samsung Note Ummi sahaja. Pampers size newborn yang Hadi pakai pun kelihatan seperti berkemban. Minggu pertama kelahiran Hadi ummi hanya berendam airmata. Bukan ummi tidak boleh terima kehadiran Hadi, tetapi ummi sentiasa dihantui rasa bimbang. Bimbang hadi tidak akan terus kekal bersama ummi.


-2 minggu-
Minggu kedua. ummi semakin kuat. Ini adalah gara-gara Hadi menunjukkan kekuatan dan semangat Hadi ketika doktor mengambil darah. Hadi hanya menggenggam tangan menahan sakit. Hadi langsung tidak menangis. Hadi juga sudah mula bernafas sendiri dan tidak menggunakan alat bantuan pernafasan. Namun, Hadi mengidap apnea yang mana sesekali Hadi lupa untuk bernafas. Beberapa kali alat itu dipasang dan dibuka sementara mengajar Hadi untuk bernafas sendiri. Tak pernah lupa kadangkala Hadi bergurau dengan ummi. Bunyi 'beep' yang panjang daripada alat bantuan pernafasan bisa menggugurkan jantung ummi. Ummi juga seperti terhenti bernafas seketika dengan gurauan indah Hadi.


-2 minggu-
Hadi kelihatan semakin besar walau hakikatnya banyak yang Hadi perlu berjuang untuk terus bersama ummi. Hadi mengalami kecederaan di hidung yang mana Hadi perlu dirujuk kepada Pakar Bedah Plastik di Hospital Ipoh. Hidung Hadi cedera dan mengalami sedikit 'keistimewaan'. Ummi, abi dan seluruh ahli keluarga redha. Ummi tahu, pihak hospital tidak sengaja, ia adalh usaha untuk menyelamatkan Hadi dan risikonya adalah begitu. Ummi sudah sedia maklum. Cuma, ummi tidak sangup membawa Hadi ke Ipoh semata-mata hal ini. Hadi terus berada dalam dakapan ummi, itu sudah cukup bermakna. Ketika ini ummi masih belum berpeluang untuk memeluk, mendakap dan mencium dahimu wahai anakku sayang. Percayalah, doa ummi untuk Hadi ketika ini tidak pernah kurang.


-44 hari-
Buat pertama kalinya, ummi berpeluang mendakap dan mencium Hadi setelah umur Hadi mencecah 44 hari. Ummi bahagia. Ummi gembira. Ummi berpeluang menjadi seperti ibu-ibu lain di dunia, dapat memeluk dan mendakap Hadi buat pertama kali. Ini lah saat-saat indah ummi bergelar ibu.


-44 hari-
Anakku Hadi, ketika ini berat Hadi hanya mencapai 1.4kg. Ummi bangga dengan semangatmu untuk terus berjuang bersama ummi dan abi di pentas dunia yang penuh dengan pancaroba. Ummi bahagia, Hadi memilih dunia dan mahu terus membesar di dalam dakapan ummi dan abi


-44 hari-
Anakku, walaupun ketika ini Hadi tidaklah kelihatan sempurna seperti bayi-bayi lain, tetapi ummi tidak tahu dari mana datangnya kekuatan ummi. Ummi menerima Hadi seadanya. Tidak sesekali ummi mempersoalkan kenapa Allah takdirkan ini untuk ummi, takdir yang tidak pernah terlintas di fikiran ummi. Saat melihat ibu-ibu lain memeluk erat bayi mereka yang sempurna dan lahir tanpa sebarang masalah, tidak pernah terlintas di hati ummi tentang persoalan, Kenapa Allah hadiahkan Hadi untuk ummi?. Ummi tertanya-tanya, Kekuatan apakah ini? Dari manakah Allah hadirkan kekuatan ini untuk ummi? Hari-hari yang ummi lalui bersama Hadi, ummi hanya ada semangat untuk terus kuat dan yakin bahawa Allah memang menganugerahkan Hadi untuk ummi..


-50 hari-
Hadi, ketahuilah, wajah Hadi ketika ini adalah buat kali pertama menjadi tatapan Opah dan Tok ayah. Hari yang ke50 barangkali. Ketika itu ummi menemanimu di Hospital Taiping dan ummi curi-curi membawa Hadi ke tepi pintu untuk memberi peluang opah dan Tok ayah melihat Hadi yang merupakan cucu lelaki sulung mereka. Ketika ini ummi melihat, airmata opah berguguran. Mungkin opah memikirkan keadaan fizikal Hadi pada masa depan. Ummi bangga dengan Hadi, anakku!


-54 hari-
Inilah wajah yang ummi sembunyikan daripada sesiapa sahaja bukan kerana ummi malu akan kehadiranmu, Tetapi ummi sedang membuat persiapan dan persediaan untuk Hadi berada di luar sana yang indahnya tidaklah seperti yang kita sering sangka.


-54 hari-
Inilah potretmu pada hari yang ke-54. Inilah foto Hadi yang pertama yang ummi kongsikan buat tatapan rakan-rakan ummi di FB yang tidak jemu-jemu mendoakanmu. 

SEMOGA MENJADI ANAK YANG SOLEH!!!


PADA TANGGAL 17 SEPTEMBER 2014 , GENAP TIGA TAHUN USIA PERKAHWINAN UMMI DAN ABI. MAKA, GENAP JUGA USIAMU 1 TAHUN 7 BULAN. BUAT PERTAMA KALI UMMI KONGSIKAN POTRETMU KETIKA DI DALAM INKUBATOR DI NICU,  SEMOGA PERKONGSIAN INI KEKAL MENJADI TATAPAN KETIKA KAMU DEWASA KELAK. ANDAI SUATU MASA UMMI PERGI DAHULU TANPA SEMPAT BERKONGSI CERITA PENGALAMAN UMMI MENYAMBUT KELAHIRANMU, MOGA CORETAN INI BISA MENJADI PERKONGSIAN TERINDAH BUATMU, ANAKKU. 

BUAT NOR IBRAHIM AL HADI, KAULAH PERMATA HATI UMMI DAN ABI DI DUNIA DAN AKHIRAT. SYUKUR, KERANA ALLAH MENGANUGERAHKAN KAMU BUAT KAMI!!!


2 comments:

  1. Serius berkaca mata baca kisah ni. Ya....baru saya tau kisah hadi. Berkat sabar dengan ujian Allah. Hadi nampam makin sihay dan comel sekarang. AlhamdulillaH buat ummi dan abi hadi.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah.. Insyaallah.. Mudah-mudahan hadi terus membesar dengan sihat dan kuat!

      Delete